AMPANG JAYA: Anak durjana. Itu gelaran sesuai diberikan buat seorang remaja lelaki apabila tergamak memukul ibu sendiri hanya kerana mahukan wang belanja sekolah.
Tindakan biadap remaja berusia 15 tahun itu viral selepas satu rakaman video mengenainya tersebar di media sosial sejak petang semalam dan menerima kecaman hebat netizen.
Difahamkan, kes berlaku di sebuah rumah di Ampang.
Menerusi rakaman berdurasi 43 saat itu, remaja berkenaan yang belum sempat memakai seluar sekolah dilihat beberapa kali memukul badan ibunya sambil menghamburkan kata-kata kesat dan meminta wanita itu menyerahkan semua wang yang ada di dalam beg.
Sambil mengadu kesakitan, wanita itu memberitahu anaknya tiada wang namun, tidak diendahkan remaja terbabit sebaliknya mengugut mahu memukul lagi.
Wanita itu juga didengar memberitahu anaknya bahawa wang yang ada mahu digunakan untuk pergi bekerja.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, laporan dibuat bapa remaja terbabit berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penjaga kuda selepas dia menerima rakaman video itu daripada anak perempuannya.
"Kejadian kira-kira jam 7.20 pagi semalam. Pengadu kemudian memberikan video itu kepada guru sekolah anaknya dengan niat supaya guru terbabit dapat menasihati anak lelakinya.
"Tidak lama selepas itu, pengadu menerima banyak panggilan daripada saudara mara yang bertanyakan mengenai video terbabit berikutan ia sudah viral di Facebook, dipercayai dimuat naik seorang individu menggunakan nama 'Jejaka Sereng'.
"Pengadu membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri, keluarga serta anak lelakinya. Pengadu dan isteri juga enggan tindakan diambil terhadap beliau atau mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, wanita terbabit tidak cedera dalam kejadian itu.
Hamzah berkata, pihaknya sudah merakam keterangan dua beranak itu dan ujian air kencing yang dilakukan terhadap remaja lelaki itu mendapati negatif dadah.
Dalam pada itu, carian BH mendapati, individu yang didakwa menyebarkan video mengemukakan memohon maaf terhadap keluarga remaja terbabit.
Dia menerusi satu entri di akaun Facebook, 'Jejaka Sereng' turut mengakui kesilapannya dan memberitahu tidak berniat untuk memburukkan sesiapa.
sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/09/330665/budak-15-tahun-pukul-ibu-kerana-duit
No comments:
Post a Comment