‘Saya Maafkan Mereka Semua, Tak Mahu Serabut di Padang Mahsyar’



DENGKIL - “Bila tahu saja ia perbuatan khianat, saya terus maafkan suspek sebab tak mahu serabut di Padang Mahsyar nanti,”kata Mazzaini Muda, 47, ibu kepada mangsa yang terkorban dalam kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, 14 Septermber lalu.

Mazzaini yang merupakan ibu kepada Ahmad Rijal Mohammad Rodzi, 13,berkata, dia, suami dan tiga anak lain sudah reda apa yang berlaku sejak hari pertama kejadian.
Katanya, Ahmad Rijal mula ke sekolah tahfiz itu pada Oktober tahun lalu kerana tidak mahu membuang masa sebaik tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
 
Sebelum ini katanya, anaknya hanya mengikuti kelas tahfiz secara separuh masa di kawasan berhampiran tempat tinggalnya di Taman Putra Perdana.

“Bila habis UPSR dia tak mahu ke sekolah, dia kata nak ke tahfiz ikut dua sepupunya… dalam kejadian itu seorang daripada sepupunya turut terkorban manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.

“Anak saya tak ada tunjuk kelainan cuma ada satu malam dia minta untuk jadi imam solat Maghrib dan Isyak, biasanya arwah solat di surau dekat rumah. Sejak berada di sana, arwah jaga waktu makan ikut jadualnya di tahfiz,”katanya.

Ketika mengimbas kembali kejadian, Mazzaini yang merupakan Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana berkata, dia menerima khabar duka itu ketika sedang bersiap untuk ke sekolah.

Katanya, dia terus sujud dan menyerahkan segala ketentuan kepada ALLAH S.W.T sebelum mengajak suami dan anak keduanya ke pusat tahfiz berkenaan.

Ketika dalam perjalanan dia mendapat tahu daripada birasnya, Ahmd Rijal dan seorang anak saudaranya antara yang gagal diselamatkan dalam kejadian kebakaran itu.
“Masa hari pertama, saya langsung tak baca akhbar, tak tengok televisyen malah saya padam semua video dan gambar-gambar yang dihantar menerusi sistem aplikasi WhatsApp, saya ‘block’ habis fikiran kerana tak mahu sakit hati.

“Awal-awal lagi saya dapat rasa ia perbuatan khianat…saya dan keluarga maafkan perbuatan suspek tapi kalau kerajaan nak ambil tindakan, itu tanggungjawab mereka,”katanya yang sepenuhnya reda dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu.

sumber : sinarharian

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...