KONTROVERSI!! @NEELOFA & ANZALNA BERPAKAT UNTUK MERAIH POPULARITI??


SEBAGAIMANA cahaya bunga biru di sebalik maksud namanya, Neelofa kelihatan teguh atas jalan penyelesaian yang diputuskan awal minggu lalu. Dalam senyum berbalut ketenangan yang bersinar daripada anak matanya, dia melepaskan segala tatah-tatah yang menjadi resam rumah siap pahat berbunyi.

Soal siapa menang tidak semestinya benar atau beralah bukan bererti kalah juga bukan ungkapan yang perlu dijadikan isu. Tidak langsung perlu dihiraukan atau menjadi lintasan yang berselirat di jiwa.

"Saya anggap perkara yang sudah itu tetap sudah. Nama pun majlis yang kami adakan tempoh hari sebagai majlis permohonan maaf. Saya dengan rela hati telah memaafkan dia (Anzalna).

"Apabila ia dinamakan permohonan maaf bersyarat maknanya syarat yang dituntut telah dipersetujui, tidak perlu syarat itu pula yang hendak diungkit. Sekarang, saya menyerahkan kepada umum untuk membuat penilaian," kata Neelofa terhadap usaha Persatuan Seniman yang menemukannya dengan pelakon Anzalna, Isnin lalu.

Episod damai tanpa babak bersalaman atau bergambar semasa sidang media selepas sesi perbincangan tertutup kedua-dua artis itu juga galak diperkatakan. Itu seperkara lagi yang mahu Neelofa tegaskan.

"Usahkan bab bergambar, kontroversi itu juga ada disalahertikan sebagai pakatan untuk meraih populariti. Saya fikir, orang tahu kami ini pelakon, jika kami bergambar bersama dan bersalaman pun orang akan anggap kami berlakon depan kamera. Jadi, sama ada bergambar dan bersalaman atau tidak, mulut orang tetap akan mengata bahawa itu semua lakonan.

"Namun, saya akui, majlis permohonan maaf tempoh hari sedikit kelam-kabut. Ada baiknya juga tiada gambar kami bersalaman kerana dua minggu sebelum itu, kecoh dengan cerita saya dibidas, hantar notis dan masing-masing melantik peguam. Saya tak mahu dimalukan secara bertimpa-timpa," katanya mohon pengertian.

Jauh di lubuk hati Neelofa, benar dia memaafkan setiap butir tuduhan yang dilemparkan Anzalna terhadapnya seperti yang disiarkan akhbar 10 Jun lalu. Bagaimanapun, bohonglah jika semua yang berlaku tidak berbekas di hatinya.

Sandiwara hebat

"Saya hanya mahu membersihkan nama yang tercemar. Isu itu isu lama. Orang lihat itu isu kecil tapi bagi saya ia isu besar kerana bukan sahaja pelakon dan pengacara, sekarang saya juga jurucakap kepada beberapa produk. Akan datang, ada lagi kontrak bersama produk lain yang bakal menyusul. Saya dihubungi banyak pihak korporat bertanyakan kesahihan cerita.

"Sebelum tampil dengan notis tuntutan untuk Anzalna dulu, saya dan peguam sudah terfikirkan soal jalan damai tanpa ke mahkamah. Sebab itulah saya tegaskan dulu, apa sahaja langkah seterusnya bergantung kepada respons dia," getusnya merasakan dia berhak atas apa yang dicapai hari ini.

Melihat drama luar lokasi dua bintang baharu itu, sama ada Neelofa atau Anzalna, kedua-dua si cantik kelahiran program Dewi Remaja itu masih terlalu tipis portfolio seni mereka. Untuk Neelofa, setidak-tidaknya Nona menjadi sandaran yang kuat untuk dia berdiri sebagai pengacara selain filem Azura 2012 dan drama televisyen seperti Kitab Cinta dan Tahajud Cinta yang sekadar cukup makan. Sebagai isi menebalkan nama dalam lipatan perhatian peminat, masing-masing tidak kalah menjual sensasi.

"Saya tak boleh hendak menafikan fakta tersebut, pelakon baharu macam saya ibaratnya baharu setahun jagung. Memang kami belum boleh dinilai berdasarkan kerja seni.

"Naskhah besar juga belum ada sebab untuk berjaya dengan produk yang benar-benar dikagumi, ia tidak boleh dilakukan dalam jangka waktu yang singkat.

"Saya masih dalam proses, tapi saya percaya kalau rajin dan bersungguh-sungguh dalam bidang ini, benda itu akan datang perlahan-lahan. Mula-mula hendak berada dalam industri, inilah cerita kami," kata bintang filem Lemak Kampung Santan dan Hantu Kapcai yang telah selesai penggambaran.

Dilihat sebagai pemenang kepada episod kemuncak perbalahan yang menjadi muka depan akhbar tempatan, namun pemilik nama Nur Neelofa Mohd. Nor, 23, tetap mengambil iktibar atas titik hitam yang berlaku.

"Sebagai selebriti, saya kena menjadi lebih bijak menempuh arus. Harus meletakkan sempadan, tidak boleh terlalu jujur hingga menjadi naif dan tidak juga terlalu mengelak sehingga dilihat sebagai seorang yang terlalu tertutup.


Tunai umrah

"Apabila semuanya sudah selesai, saya lega kerana telah mengambil jalan penyelesaian tanpa perlu bersikap gelojoh. Kalaulah saya jenis melatah dan sibuk-sibuk memberi komen, rasanya perkara itu akan jadi lebih buruk," katanya yang sedikit terkejut apabila isu pergaduhan itu mendapat perhatian besar.

Dari situ dia sedar, biarpun namanya belum bersinar seperti pelakon-pelakon besar negara, namun apa sahaja salah laku artis akan menjadi isu besar.

"Bertelagah pun tentang isu lama, saya sedar artis bukan macam pemimpin negara yang harus dijadikan muka depan akhbar tapi itulah situasi sekarang, orang ambil berat setiap kes melibatkan artis.

"Mula-mula saya memang rasa malu, tapi bila ia berpenghujung begitu, segalanya pulih," katanya yang bakal bergelar jurucakap jenama tilam terkenal, King Koil tidak lama lagi.

Sedang berada di Mekah untuk penggambaran drama bersiri 26 episod bertajuk Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima, keberkatan berada di Tanah Suci juga akan dimanfaatkan oleh Neelofa untuk sama-sama mengerjakan umrah.

Ditemui sehari sebelum berangkat, katanya: "Sebenarnya saya agak gementar sampai tak tahu apa yang harus dibawa nasib baik ibu banyak tolong saya buat persediaan. Ini kali pertama saya akan ke sana, selain penggambaran kami juga akan mengerjakan umrah. Syukur sebab saya dibuka peluang untuk bertamu ke rumah Allah. Doa saya semoga akan beroleh kehidupan yang lebih baik selepas ini, ketenangan serta fasa baharu yang membahagiakan." -kosmo!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...