Telur goreng mengeluarkan darah selepas dibacakan bacaan surah Al Rukyah yang dipasang dari laman YouTube.






KUALA LUMPUR: Masyarakat diminta berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan dakwaan di media sosial yang menunjukkan telur goreng mengeluarkan darah selepas dibacakan bacaan surah Al Rukyah yang dipasang dari laman YouTube.

Pendakwah bebas Datuk Md Daud Che Ngah berkata, paparan di laman sosial itu dianggap tidak logik dan tidak boleh menjadi hukum yang harus dipercayai.

"Kaedah fiqah ini merupakan sesuatu yang jarang berlaku dan tidak boleh menjadi hukum. Ia sesuatu yang tidak munasabah.

"Apabila ada dakwaan telur goreng yang mengeluarkan darah setelah dibacakan ayat suci Al Quran dan gambar itu disebarkan terutama di Facebook, ia menjadi sesuatu yang tidak logik.

"Tidak boleh kita ambilnya sebagai hukum. Semua benda baik, terutamanya makanan, adalah halal kecuali ada unsur luar yang memudaratkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Paparan dizum yang memperlihatkan sesuatu seperti darah keluar daripada telur goreng selepas dibacakan surah Al Rukyah. -Sumber gambar Facebook

Md Daud mengulas kejadian yang berlaku kepada seorang pengguna Facebook yang mendakwa nasi bungkus dan lauk telur gorengnya mengeluarkan darah selepas dibacakan ayat Al Rukyah dari laman YouTube.

Ia mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca yang menyatakan kejadian itu berpunca daripada sihir dan ilmu pelaris yang digunakan peniaga untuk mendapat lebih pelanggan.

Ada juga reaksi berbeza yang mengatakan kejadian itu berpunca daripada keadaan telur itu sendiri yang mungkin sudah 'rosak' sekali gus mengeluarkan darah selain beberapa komen yang tidak mempercayai adanya ilmu hitam seumpama itu yang didakwa biasa digunakan oleh peniaga kedai makan.

Surah Al Rukyah merupakan gabungan dari ayat-ayat Al Quran yang boleh digunakan untuk mengesan jin dalam badan atau di rumah.

MD DAUD: Surah Al Rukyah bukan punca darah keluar daripada telur goreng. - Gambar fail


Maksud ruqyah adalah al-‘udzah (sebuah perlindungan) yang digunakan untuk melindungi orang yang terkena penyakit atau disebabkan sengatan binatang.

Ia merupakan urutan ayat dari surah Al Fatihah, Al Baqarah, Ali Imran, Al Araf, Al Mukminun dan beberapa ayat lagi di dalam Al Quran.

Dalam pada itu kata Md Daud, umat Islam sendiri harus sentiasa berhati-hati dalam isu berkenaan dan sentiasa merujuk Jabatan Agama Islam untuk pengesahan.

"Pada saya banyak benda palsu yang ada di laman sosial hari ini, ada juga yang menokok tambah sesuatu isu supaya ia nampak lebih sedap dibaca, dilihat dan kemudian disebarkan," ujarnya.


Sebelum ini, Md Daud dilaporkan meminta pihak berkuasa agama segera menangkap 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' atau Ibrahim Mat Zin yang mencetus kontroversi di luar penjara Sungai Buloh selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Tegasnya, dakwaan Ibrahim yang menyifatkan ada serangan ilmu hitam yang mahu membunuh Anwar di dalam penjara adalah syirik semata-mata.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...