SIAPA sangka, coklat boleh menimbulkan kontroversi. Kononnya ujian telah dijalankan ke atas coklat berjenama yang banyak dijual di mana-mana dan keputusan ujian tersebut adalah beberapa batch coklat tersebut terkandung DNA babi. Maka gemparlah negara kerana coklat yang dikatakan telah dicemari babi.
Riuhlah se-Malaysia tentang coklat DNA babi. Reaksinya pelbagai. Ada yang tertawa, lihat sahaja begitu banyak disebarkan di laman media sosial dan WhatsApp. Ada yang terkilan, coklat yang sedap dan tidak begitu mahal kini tidak boleh dinikmati lagi. Dan ada juga yang marah.
Dalam kalangan mereka yang marah, ada meluahkan perasaan marah mereka melalui media. Ada yang membuat laporan polis terhadap pengeluar coklat tersebut. Ada pula yang berniat untuk memfailkan tindakan guaman terhadap pengeluar coklat yang sama. Tidak lupa juga ada yang mahu ‘membasuh’ darah mereka kerana telah makan makanan dengan DNA babi. Ada juga yang marah, kononnya tidak boleh mengerjakan umrah akibat termakan coklat DNA babi. Mereka begitu marah sehingga sanggup melancarkan ‘jihad’.
Beberapa hari selepas mereka yang marah ini berlumba-lumba untuk bercakap di hadapan kamera, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa, coklat halal dimakan. Keputusan Majlis Fatwa berdasarkan hujah yang jelas; oleh kerana hanya beberapa batch coklat yang mungkin tercemar dan oleh kerana kita tidak dapat mengetahui mana satu yang tercemar dan mana satu tidak, maka coklat itu hukumnya halal untuk dimakan. Agama Islam, kata Majlis, bukanlah agama yang menyusahkan penganutnya. Umat Islam tidak dipertanggungjawabkan untuk memastikan sehingga ke peringkat molekul, sama ada sesuatu makanan itu halal sehalal-halalnya.
Selang beberapa hari, Jakim, yang dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan pensijilan halal, pula mengeluarkan kenyataan bahawa coklat itu adalah halal. Ujian yang dijalankan ke atas sampel coklat tidak menemui sebarang DNA babi.
Maksudnya bukan sahaja dari sudut hukum coklat itu halal, secara fakta memang tidak ada DNA babi. Coklat DNA babi bukan lagi coklat DNA babi.
Maka berakhirlah jalan hikayat bagaimana coklat boleh menjadi bualan satu negara. Masih ada jalan cerita sampingan; perdebatan dalam kalangan ulama dan bijak pandai agama tempatan berkenaan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh sarjana Islam tersohor masih berlangsung. Tetapi tentang coklat itu sendiri, hikayat sudah berakhir; coklat halal dimakan sekali lagi.
Dan seperti hikayat-hikayat silam, ceritera moden ini ada pengajarannya. Ada yang wajar dijadikan pedoman.
Hikayat coklat DNA babi ini mendedahkan kita kepada sikap sesetengah daripada kita yang lebih senang untuk menghakimi sebelum memastikan kebenaran, kesahihan dan kepastian sesuatu dakwaan. Marahkan nyamuk, sehingga kelambu terbakar. Marahkan coklat sehingga hilang kesabaran dan bertindak tanpa rasional.
Malangnya, tindakan kurang bijak seperti melancarkan jihad dan membasuh darah dilakukan kononnya atas nama agama. Padahal agama sentiasa memupuk kita untuk bersabar dan jangan bertindak terburu-buru. Lebih penting lagi, tidak ada dalil untuk menyokong keperluan untuk membasuh darah selepas termakan sesuatu yang tidak halal, tanpa pengetahuan, ataupun ibadat umrah terhalang oleh kerana coklat yang dikatakan tidak halal.
Seluruh dunia sudah menerima berita tentang Muslim di Malaysia yang berjihad demi coklat.
Kita juga tidak mendengar walau sebutir kata-kata memohon maaf kepada pengeluar coklat daripada mereka yang dahulunya begitu beria-ia bercakap kepada media tentang marahnya mereka. Apa salahnya memohon maaf kalau sudah tersalah ‘tembak’?
Oh coklat. Siapa sangka kau mampu menggemparkan negara ini?
* Penulis adalah seorang peguam muda.
Sumber:sinar harian online
No comments:
Post a Comment